Friday, October 10, 2008

KHAR akan jadi tumpuan..

Menjelang pilihan raya kampus yang akan menetukan kepimpinan baru mahasiswa UPSI dalam beberapa hari sahaja lagi, beberapa lubuk pengundi sudah diintai untuk dijadikan pusat kempen. Sudah semestinya di kolej kediaman terbesar UPSI, Kolej Harun Aminurrashid. Kolej ini bukan sahaja menampung seramai 2700 mahasiswa-mahasiswi, malah kawasan sekitarnya juga seperti Taman Bahtera dan Bahtera Arked turut menampung ribuan mahasiswa-mahasiswi. Sememangnya di kolej ini akan menjadi tumpuan calon-calon untuk berkempen. Saya masih ingat bagaimana perjalanan kempen yang berat sebelah dijalankan pada pilihan raya lepas. Tetapi kali ini, saya pasti ramai yang akan memerhati dan akan bertindak sekiranya perkara tersebut berulang. Saya juga dimaklumkan sudah ada siri ceramah dari semasa ke semasa yang telah disusun bagi memenuhi tempoh masa berkempen yang cukup singkat itu. Sama-samalah kita saksikan calon-calon ini berhujah meraih undi.

Laluan ke Bitarasiswa agak kelam-kabut...

Melihat kepada jadual PRK kali ini sangat menyuntukkan. Tempoh berkempen yang terlalu singkat mengecewakan. Memang benar seperti apa yang dikhabarkan..(klik)

Pembubaran MPP 2007/2008

Saya mula terpanggil untuk membuat pandangan awal tentang pilihanraya kampus (yang kadangkala dipanggil pemilihan MPP) khususnya di institusi pengajian saya di UPSI. Saya sememangnya menanti-nantikan waktu ini untuk saya melihat sejauh mana perubahan yang ingin dibuat oleh pihak berkenaan terhadap sistem yang ingin digunapakai untuk PRK kali ini. Hari ini, 10 Oktober 2008, pembubaran MPP 2007/08 dibuat. Maka sudah semestinya laluan kepada hari pembuangan undi semakin hampir. Proses kepada hari pembuangan undi dikatakan akan berlaku sepantas dan sesingkat yang mungkin tanpa diketahui atas sebab apa. Kalau nak dengar khabar angin sudah semestinya pelbagai. Namun atas saranan bersangka baik, kita sebagai pengundi akur. Pembubaran MPP dilakukan di saat manifesto melampau mereka belum terlaksana sepenuhnya. Paling melucukan adalah impian untuk mewujudkan stesen radio UPSI. Memang ternyata mereka memperbodohkan mahasiswa dengan manifesto yang kebudak-budakkan dan tidak realistik. Apapun mereka sudah terbubar kini. Mungkin manifesto itu dinyawakan semula oleh generasi mereka yang mewarisi ideologi fantasi itu. Maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai juga memberitahu budak suruhan yang mengedar flyers pada hari pengundian pada PRK lepas turut mempertaruhkan diri untuk bertanding. Budak tersebut yang selama ini menjadi menteri penerangan MPP 2007/08, menjawab segala isu yang berkaitan MPP lepas kini diberi kepercayaan untuk meneruskan ideologi fantasi mereka. Pada saat saya menulis, calon-calon yang berhasrat ingin bertanding sedang menjalani kursus kepimpinan siri 2 sebelum mereka dibenarkan membeli borang pencalonan seterusnya mencalonkan diri dan berkempen untuk bertanding. Kita sama-sama saksikan sama ada UPSI mempunyai reseptor terhadap mood perubahan semasa atau tidak.(Klik)

Thursday, October 9, 2008

Pemergian Sebutir Mutiara..Al-Fatihah..

Tidak hilang lagi rasa terkejut atas pemergian Allahyarham Suhaimi Yusof pada cuti semester yang lalu, seorang lagi rakan kita telah pergi pada 5 Syawal 1429H bersamaan 5 Oktober 2008 tanpa ada signal jelas bahawa beliau akan pergi mengadap Ilahi. Redho dengan pemergiannya tetap meninggalkan kesan kepada rakan sekeliling. Arwah pergi kerana sakit demam. Meskipun saya tidak begitu rapat dengan arwah, namun semasa hayatnya saya cukup mengagumi arwah dengan sifat peribadinya yang pendiam dan istiqamah. Semasa bulan Ramadhan yang lalu, saya sempat bertadarus bersama beliau beberapa kali. Arwah merupakan seorang ahli surau yang tidak pernah lekang untuk solat berjemaah. Arwah juga antara pentazkirah selepas Subuh. Sekali sekala arwah akan melaungkan azan terutamanya di waktu-waktu kurangnya jemaah seperti Zohor dan Asar. Bagi mereka yang kerap ke surau pasti akan mengenalinya dan pasti akan terkejut dengan pemergiannya. Al-Fatihah buat Allahyarham Mohamad Adnan bin Mohamad Nain..Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh..Amiiin..