Wednesday, September 10, 2008

Anak Yatim dan Ramadhan...

“Menurut hadis Sahih Muslim, Rasulullah s.a.w turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.” Sementara menunggu waktu turun ke bawah untuk membentang tikar, menyediakan tempat jemaah kolej saya menunaikan solat berjemaah, tiba-tiba saya terfikir tentang anak yatim. Saya sering merenung bagi merasai bagaimana agaknya kalau kita sebatang kara dalam usia yang belum tahu erti kehidupan, terpaksa mengharungi hari demi hari tanpa keluarga terutamanya ibu dan ayah. Bagaimana perasaan apabila melihat rakan-rakan seronok bercuti, membeli juadah berbuka dengan ibu dan ayah masing-masing. Tatkala tiba waktu berbuka, dihulur makanan dan dipaksa menghabiskan makanan dengan penuh kasih sayang daripada ibu dan ayah. Pada sebelah malamnya mengikut ayah ke masjid menunaikan solat isyak dan terawih. Kembali ke rumah disambut dengan panggilan manja dari ibu. Membuat kerja rumah bersama asuhan ibu dan ayah. Melelapkan mata dengan usapan kasih sayang daripada seorang ibu. Anak yatim tak mungkin merasai semua ini. Hanya bertemankan rakan senasib untuk meluahkan, membantu, menggembirakan diri sendiri. Itupun sudah cukup bagi mereka. Apalah kiranya di bulan Ramadhan ini, kita meraikan mereka dan bermuhasabah diri. Kita tak akan merasai apa yang mereka rasa selagi kita tak berada di tempat mereka. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu dengan nikmat keluarga yang Engkau berikan dan janganlah dengan nikmat ini aku menjadi anak yang derhaka. Amin..Selamat berbuka. Nikmati Ramadhan sebaiknya..

No comments: