Monday, September 29, 2008

Ramadhan ya Ramadhan..

Tidak seperti Ramadhan sebelum ini, saya merasakan Ramadhan kali ini ada keistimewaan yang tersendiri buat saya. Kepantasannya berlalu juga masih tidak dapat saya nafikan seperti Ramadhan-Ramadhan yang sebelum ini. Harapnya ramadhan kali ini benar-benar mentarbiah saya akan makna sebenar ketaqwaan. Sungguh besar harapan saya untuk bertemu lagi ramadhan pada masa akan datang. Dalam masa kecederaan yang tinggal hanya beberapa jam ini, saya benar-benar merasai kesayuan pemergiannya..

Thursday, September 11, 2008

Mahasiswa harus berani seperti Ramlang Porigi..

Ketibaannya membuat pengakuan eksklusif tentang kehadiran beliau sebagai saksi Sumpah Saiful di Masjid Wilayah, memang menggemparkan. Apapun niat beliau yang ingin membersihkan nama seharusnya dihormati. Meskipun isu ini sudah lama, tapi saya ingin melihat kepada keberaniannya ke depan tanpa memikirkan soal periuk nasinya. Inilah yang dikatakan orang berprinsip. Sikap ini harus ada pada seorang mahasiswa. Bukan hanya dalam soal melontarkan idea malah dalam soal menegakkan hak. Namun, mahasiswa kini hanya berani apabila diberi jaminan. Berlakon berani. Buat-buat berani. Jadilah mahasiswa yang mempunyai prinsip. Bukan hanya menurut arahan malah perlu membetulkan arahan dan mungkin mencantas arahan dan tukar dengan arahan yang lebih baik. Inilah mahasiswa. Kalau tidak, kekallah dengan gerangan pelajar macam budak sekolah dan mungkin lebih rendah martabat daripada pelajar sekolah. Kita juga tidak mahu SAIFULISME menular di kampus. Marilah berdoa untuk kesejahteraan Malaysia.

Wednesday, September 10, 2008

Anak Yatim dan Ramadhan...

“Menurut hadis Sahih Muslim, Rasulullah s.a.w turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.” Sementara menunggu waktu turun ke bawah untuk membentang tikar, menyediakan tempat jemaah kolej saya menunaikan solat berjemaah, tiba-tiba saya terfikir tentang anak yatim. Saya sering merenung bagi merasai bagaimana agaknya kalau kita sebatang kara dalam usia yang belum tahu erti kehidupan, terpaksa mengharungi hari demi hari tanpa keluarga terutamanya ibu dan ayah. Bagaimana perasaan apabila melihat rakan-rakan seronok bercuti, membeli juadah berbuka dengan ibu dan ayah masing-masing. Tatkala tiba waktu berbuka, dihulur makanan dan dipaksa menghabiskan makanan dengan penuh kasih sayang daripada ibu dan ayah. Pada sebelah malamnya mengikut ayah ke masjid menunaikan solat isyak dan terawih. Kembali ke rumah disambut dengan panggilan manja dari ibu. Membuat kerja rumah bersama asuhan ibu dan ayah. Melelapkan mata dengan usapan kasih sayang daripada seorang ibu. Anak yatim tak mungkin merasai semua ini. Hanya bertemankan rakan senasib untuk meluahkan, membantu, menggembirakan diri sendiri. Itupun sudah cukup bagi mereka. Apalah kiranya di bulan Ramadhan ini, kita meraikan mereka dan bermuhasabah diri. Kita tak akan merasai apa yang mereka rasa selagi kita tak berada di tempat mereka. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu dengan nikmat keluarga yang Engkau berikan dan janganlah dengan nikmat ini aku menjadi anak yang derhaka. Amin..Selamat berbuka. Nikmati Ramadhan sebaiknya..

Aura...

Mereka yang mempunyai aura sentiasa menarik perhatian orang ramai. Apabila berada di khalayak ramai sudah pasti ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat. Satu ketika dulu, Mawi adalah orang yang sentiasa mendapat publisiti meluas. Kemenangannya dalam Akademi Fantasia sudah dijangka dan namanya meletup-letup sehinggalah putus tunang dibuatnya. Liputan akhbar berkenaan beliau akan menenggelamkan isu-isu lain. Sampai dilamar untuk menjadi Duta Putera United Malays National Organisation. Kariernya dalam bidang muzik agak konsisten dan masih lagi mengekalkan auranya yang tersendiri. Anwar Ibrahim juga saya kira begitu situasinya. Dengar sahaja ada ceramah atau pidato daripadanya pasti penuh kawasan tersebut dengan manusia yang ingin mendengar beliau bercakap. Tokoh ini juga mempunyai aura yang tersendiri. Cukup dengan bercakap dan menggoreng beberapa isu, beliau mampu memukau ribuan orang malah jutaan orang. Kemunculannya dalam Debat berkenaan harga minyak beberapa bulan lalu membuktikan auranya masih hidup. Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh juga membuktikan beliau memang hebat. Politik adalah bidangnya dan sememangnya layak beliau berada di situ sejak beliau bergelar mahasiswa. Seorang yang zuhud dan menjadikan agama sebagai prinsip, seringkali dipandang rendah oleh mereka yang tak faham perjuangan seorang daie. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tidak terkecuali dalam mereka yang mempunyai aura yang tersendiri. Juga seorang ahli politik. Ilmu agamanya tak perlu dipersoalkan. Bercakap berkenaan agama dengan nada yang lemah lembut mampu memukau jemaah yang mendengar. Cukup dengan nada yang sederhana, ke mana sahaja beliau berceramah, pasti ada pendengarnya. Ketiga-tiga mereka ini pada saya adalah mereka yang berpengaruh dan mampu mempengaruhi. Namun mereka bertiga berada dalam landasan yang berbeza. Aura oh aura…

Tuesday, September 9, 2008

Lawatan Sambil Belajar bukan hanya untuk pelajar..

Sebelum ini dalam pemikiran saya, lawatan sambil belajar hanya relevan untuk para pelajar dan mungkin guru-guru yang menjadi guru pengiring untuk lawatan tersebut. Kalau di universiti, juga boleh diterima. Pengalaman saya menjalankan misi antarabangsa menjelajah ke medan pada awalnya juga dinamakan "Lawatan Sambil Belajar ke Medan". Tetapi tajuk program ini tak diterima kerana nama program itu seakan lapuk. Jadi, untuk menjadikan program itu dilihat lebih global, Bahasa Inggeris digunakan, 'An Excursion to Medan". Juga tak diterima. Perlu diubah nama itu kepada sesuatu yang berbentuk kebajikan. Universiti saya ini menekankan program yang berbentuk kebajikan. Fikir punya fikir, ilham datang untuk menamakan program ini "Penjelajahan Bakti ke Medan". Baru diterima walaupun ada lagi bunyi-bunyi oleh beberapa individu. Saya tak nak cerita tentang program ini tapi nak tengok kepada nama program "Lawatan Sambil Belajar". Rupa-rupanya ahli Parlimen juga memerlukan Lawatan Sambil Belajar..Bukan hanya untuk pelajar..Kalau ahli-ahli parlimen ini berada di universiti saya, pasti kertas kerja mereka ditolak bulat-bulat oleh Pelulus Program Antarabangsa.

Monday, September 8, 2008

Semetrik Physics Camp..sesuatu di luar jangkaan..

Memenuhi permintaan adik-adik dari SEMETRIK yang nak baca tentang Semetrik Physics Camp atau nama glamornya SPC, Abang Boss sedia menulis. Secara keseluruhan, program ini sangat bermakna bagi kami dan juga mungkin adik-adik yang menyertainya. Kalau nak diikutkan 3 hari 2 malam itu tidak cukup untuk kami curahkan semua pengetahuan, pengalaman yang kami ada, tapi itulah yang termampu kami lakukan. Secara jujurnya, kami seakan-akan lupa bahawa program ini adalah bagi memenuhi syarat lulus dan gred terbaik untuk kursus Kaedah Mengajar Fizik yang memerlukan kami menjalankan satu projek. Sebaik kami tiba di SEMETRIK, kami hanya menumpukan perhatian bagaimana nak beri yang terbaik untuk adik-adik yang terpinga-pinga dengan tema program ‘Physics Is Fun’. Kami dapat rasakan tatkala adik-adik menempik dengan penuh semnagt “Physics Is Fun”, ada yang membisikkan dalam hati,”Fun pebenda..fail je tiap-tiap kali ujian..”. Semua itu hilang selepas 3 hari kami berkampung di sana. Apapun, komitmen adik-adik memang selayaknya diberi pujian. Kami pun tidak menyangka adik-adik begitu komited dengan aktiviti-aktiviti yang kami jalankan. Dengan kerjasama yang baik daripada pihak sekolah, kami memang berasa terhutang budi. Diharapkan adik-adik memperolehi sesuatu daripada semua aktiviti yang dijalankan. Secara peribadi saya juga teruja dengan kerjasama rakan-rakan seperjuangan. Memang bertanggungjawab dan berdisiplin. Tidak ada yang dikuasai emosi semasa menjalankan tugas. Semuanya nampak ‘happy’ dan selesa dengan tugas yang diamanahkan. Moga anda semua juga beroleh sesuatu. Pujian khas patut saya berikan kepada Dewan Makan yang siap sedia menjamu kami sepanjang berada di sana. Kami juga dapat mengimbau kenangan ketika kami di sekolah. Makan bersama dan pada waktunya cukup untuk kami berborak panjang menceritakan pengalaman masing-masing semasa menikmati hidangan yang disediakan. Terima kasih tak terhingga kepada pihak Dewan Makan. Program ini adalah antara program terbaik dari segi pengurusan dan pelaksanaannya. Semua yang dirancang berjalan dengan baik tanpa ada perubahan besar yang perlu dilakukan. Mungkin berkat doa semua pihak. Niat ikhlas untuk member sesuatu kepada adik-adik akhirnya membuahkan hasil apabila jalinan ukhwah dengan adik-adik masih lagi terkesan sehingga ke hari ini. Semoga program ini menjadi penyambung silaturahim kita semua. Kejayaan SPC memang sesuatu di luar jangkaan kami. Tidak sabar rasanya untuk memberi laporan kepada Penasihat Program SPC merangkap pensyarah kami, Dr. Nurul Huda Abd Rahman.

Maaf dipohon..

Maaf kerana begitu lama tidak mengemaskini blog ini. Sokongan saudara-saudari didahului dengan ucapan terima kasih. InsyaAllah, blog ini akan aktif dengan tulisan-tulisan baru yang segar dalam sehari dua lagi. Terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan...Salam Ramadhan..Selamat Menikmati Ramadhan..Assalamualaikum..