Saturday, June 21, 2008

Terima kasih SMK Dato' Zulkifli Muhammad..

Hari terakhir ROS memberi kesempatan untuk saya menyampaikan beberapa pesanan kepada semua pelajar. Akhlak dan sahsiah perlu diutamakan. Jangan hanya ke sekolah untuk menerima hukuman akibat kesalahan disiplin. Kegiatan di luar bilik darjah juga penting untuk masa depan. Jadilah seseorang apabila menjadi anngota masyarakat kelak. Bagi muslim, sering saya ingatkan, jangan tinggalkan solat. Itulah antara isi penting yang saya sampaikan kepada pelajar. Masa yang singkat (2 minggu) sememangnya tidak cukup untuk saya mempelajari keseluruhan hal-hal berkaitan sekolah. Namun banyak juga perkara baru yang saya pelajari. Terima kasih kepada semua yang membantu. Nasihat dan pesanan kalian akan saya jadikan panduan. Terima kasih SMK Dato’ Zulkifli Muhammad. Jumpa lagi pada masa akan datang..

Friday, June 20, 2008

Kerjaya GURU jangan dipandang enteng..

“Kau nak jadi apa besar nanti Mat”, tanya ibu yang mahu mengetahui cita-cita anaknya.”Mat ingat nak jadi cikgu sekolah je la mak”, jawab Mat kepada ibunya.”Banyak-bayak kerja yang ada kat dunia ni kenapa cikgu yang kau pilih?”, tanya ibu untuk menguji kesungguhan anaknya itu.”Ala mak, kalau jadi cikgu, bole balik rumah awal, kerja pun tak berat sangat, nanti boleh jenguk-jenguk mak di kampung selalu.Gaji cikgu pun boleh tahan juga sekarang ni”,Mat menjelaskan kepada ibunya yang sedang melipat pakaian yang baru diangkat dari ampaian.”Ikut suka kau lah Mat. Jangan kau menganggur sudah. Sekarang ni nak dapat kerja pun susah. Kalau dah itu keputusan kau, baguslah. Mak tumpang gembira”balas Si ibu yang bangga dengan cita-cita anaknya tanpa mengetahui apa itu GURU sebenarnya. Mungkin begitulah tanggapan banyak pihak terhadap kerjaya guru. Habis kerja awal. Kerja tak terlalu membebankan. Boleh selalu balik kampung. Banyak masa bersama keluarga. Segala-galanya seronok. Mungkin benar, tapi bukan untuk guru di negara ini. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan diperhalusi sebelum memilih guru sebagai kerjaya. Perkara utama yang perlu dimuhasabah sebelum memikirkan soal yang seronok-seronok adalah kesediaan seseorang itu berkorban dalam segala hal. Keluarga, masa, tenaga, wang ringgit (mungkin juga US Dolar), cara hidup dan banyak lagi bentuk pengorbanan yang perlu diberikan apabila memilih guru sebagai kerjaya. Saya juga tak terfikir semua ini sehinggalah saya ke sekolah untuk melihat sendiri kehidupan sebagai seorang guru. Dan jangan pula mengharap pengorbanan itu dibalas. Guru bukan hanya mengajar. Guru perlu juga jadi pelajar. Bersedia untuk belajar. Belajar daripada yang tahu. Keluar universiti atau maktab bukan bermakna kita tahu segalanya. Kadang-kadang nak buat rancangan mengajar pun tak tahu. Bukan tak belajar masa di universiti dan maktab dulu. Tapi kaedah dan metodnya berbeza. Tapi lagi malang kalau nak bawa watak guru tu pun tak berapa nak tahu. Maka jadilah guru yang hanya menunggu bulan berlalu. Bayar hutang kereta, rumah dan aset yang beribu-ribu. Saya juga masih belajar. Tak tahulah macam mana nanti. Tapi banyak juga yang saya cuba ambil tahu sebelum nak jadi cikgu. Kalau difikirkan soal kepayahan dan kesusahan, memanglah akan risau dan ragu. Tapi semangat untuk meneruskan perjuangan guru masih tersemat di dalam kalbu. Biarlah nak kata apa, matlamat mesti jelas. Usaha untuk ke arah yang terbaik mesti diteruskan. Apa yang seronoknya jadi cikgu kalau semuanya susah? Kita cuba bincangkan nanti…

Thursday, June 19, 2008

ROS di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River : Menyingkap Kenangan

Melangkahkan kaki ke sekolah lama sudah pastinya mengingatkan kita kenangan lalu tatkala bergelar pelajar sekolah. Bermula pada 9 Jun 2008, saya berkesempatan untuk menjalankan ROS di sekolah ini. Saya sempat belajar di sekolah ini selama 3 tahun. Selepas tamat PMR, saya berpindah ke sekolah lain. Banyak juga perubahan yang berlaku. Mungkin kerana gurunya pun sudah ramai yang bertukar. Maka dasar dan matlamat pun turut diperbaharui. Lapan tahun yang lalu, saya datang ke sekolah sebagai pelajar. Kini, saya datang ke sekolah sebagai bakal guru yang ingin mencari pengetahuan, selok-belok tentang sekolah. Banyak betul perkara yang saya tak tahu sebelum ini. Maka di kesempatan ini, saya mencari sebanyak mungkin ilmu itu sebagai persediaan sebelum bergelar guru. Beberapa ungkapan penting menjadi peringatan kepada saya. “Mental yang kuat”, “Jiwa Guru”, “Pengorbanan”, “Keseimbangan”, “Kepuasan”, dan banyak lagi ungkapan yang menggambarkan imej guru sebenar. Ada kisah dan nasihat di sebalik ungkapan-ungkapan itu.

Wednesday, June 18, 2008

Assalamualaikum..

Saya baru menjinakkan diri dalam dunia blog. Menulis sudah lama tapi belum bersedia untuk ditatapi umum. Kini bermulalah pelayaran saya sebagai orang baru dalam ruangan blog. Semoga setiap yang ditulis dipelihara-Nya daripada perkara yang tidak baik.