Thursday, December 25, 2008

PPSMI..UPSI di mana?

Saya mulakan Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani Saya cuba untuk menulis seperti Che Det..atau mungkin Dr. Asri..atau mungkin Anwar Ibrahim..mungkin juga Khir Toyo…tapi apakan daya..sehebat mana pun kita menulis, siapa mahu pandang kalau tiada kedudukan seperti mereka..namun atas semangat ‘mahasiswa’ itu, jari jemari harus dipaksa mengalirkan cecair pandangan dari akal ke atas kertas maya ini. Kecewa pun tidak, gembira pun tidak..Seperti tiada perasaan..Kaku, bisu, pekak, buta, ke apa mahasiswa UPSI ni..?Mungkin hanya baca dan kemudian menyerahkan bulat-bulat kepada orang politik putuskan.. Tidak bagi saya..walaupun di hujung usia bergelar mahasiswa, saya mahu melontarkan pandangan dan mencabar mereka yang kononya mahu menjadi arkitek minda anak bangsa. Isu PPSMI. Ini bukan tulisan ilmiah untuk mendefiniskinikan satu per satu maksud PPSMI. Saya nak terus kepada hujahnya, saya tolak PPSMI. Jangan nak panjang-panjangkan cerita lagi tentang PPSMI. Yang bantah lebih ramai dari yang sokong. Kajian dah buat, apa lagi nak?Balik kepada basisnya, ilmu untuk dikuasai terlebih dahulu. Nak kuasai kena faham. Nak faham kena belajar. Nak belajar perlu ada kaedah. Kaedah perlu ada bahasa. Bahasa itu mesti yang difahami. Cukup dulu setakat itu. Kalau nak bincang untuk setaraf dengan negara maju yang guna bahasa Inggeris, biar anak-anak ini faham dan kuasai dulu asas ilmu itu. Dalam hal PPSMI ini, anak-anak yang mahu belajar sains dan matematik ini perlu dimotivasikan, perlu diberi pelajaran itu menggunakan bahasa yang digunakannya. Barulah mudah untuk dia faham, kuasai dan mengaplikasikannya. Itu konsep belajar. Jangan ingat anak-anak yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini boleh terus jadi angkasawan. Nak terus ajar guna Bahasa Inggeris. Banyak lagi hujah, tapi saya kira hujah-hujah itu sudah seringkali kita dengar, kita baca. Untuk UPSI. Di mana kamu?Saya tak nak persoal ahli akademik di UPSI, pandai-pandailah mereka, nak ambil tahu atau tidak, terpulang kepada mereka. Mereka lebih tahu. Bagi mahasiswa, saya menggesa anda semua, nyatakan sokongan anda di mana. Kalau anda sependapat dengan saya, saya sarankan, bergeraklah bersama NGO di luar yang sedang bertungkus lumus memperjuangkan pemansuhan PPSMI ini. AUKU dah bagi ruang, tiada alasan lagi. Ayuh kita bersama GAPENA. Ayuh kita bersama PKPIM. Ayuh bersama TERAS. Ini bukan soal menentang kerajaan. Ini soal menentang dasar. Kalau parti lain yang memerintah pun, guna PPSMI ini, kita bantah. Apalah kiranya kalau Persatuan Mahasiswa Sains bersama Persatuan Mahasiswa Matematik, diperkuatkan lagi dengan Persatuan Astronomi, dibariskan juga dengan Persatuan Bahasa Melayu, dikukuhkan lagi dengan persatuan-persatuan lain yang berminat, berjumpa dengan pimpinan GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar contohnya, untuk nyatakan sokongan. Jangan hanya baca dan tengok sahaja. Atau mungkin bersama PKPIM. Mereka kini sedang giat mengumpul petisyen dalam laman sesawangnya. Kita bantu. Ini baru anak jantan. Saya cabar anda sebagai pimpinan mahasiswa UPSI bergerak demi memartabatkan bahasa Melayu kita. Kita sebagai orang yang akan laksanakan dasar yang dibuat seharusnya kritikal dengan dasar itu. Jangan gentar dengan ugutan tak dapat posting. Ini permainan lama. Kita bukan menentang kerajaan, Kita hanya tentang dasar PPSMI. Ayuh kita bergerak. MPP bagaimana?Susah sikit sebab nakhodanya menang tanpa bertanding dan kurang taring. Biarlah mereka dengan bilik berhawa dingin mereka. Tapi kalau mereka mahu bersama, mungkin 8 ahli mereka itu, kita alu-alukan. Boleh sahut cabaran??

Tuesday, December 9, 2008

Alhamdulillah..

Lama betul tak menulis..lama betul tak update blog..Sibuk yang teramat..Memang betul-betul sibuk..Sampailah saat ini.. Dah free tapi tak tau apa pula yang nak ditulis…

Friday, October 10, 2008

KHAR akan jadi tumpuan..

Menjelang pilihan raya kampus yang akan menetukan kepimpinan baru mahasiswa UPSI dalam beberapa hari sahaja lagi, beberapa lubuk pengundi sudah diintai untuk dijadikan pusat kempen. Sudah semestinya di kolej kediaman terbesar UPSI, Kolej Harun Aminurrashid. Kolej ini bukan sahaja menampung seramai 2700 mahasiswa-mahasiswi, malah kawasan sekitarnya juga seperti Taman Bahtera dan Bahtera Arked turut menampung ribuan mahasiswa-mahasiswi. Sememangnya di kolej ini akan menjadi tumpuan calon-calon untuk berkempen. Saya masih ingat bagaimana perjalanan kempen yang berat sebelah dijalankan pada pilihan raya lepas. Tetapi kali ini, saya pasti ramai yang akan memerhati dan akan bertindak sekiranya perkara tersebut berulang. Saya juga dimaklumkan sudah ada siri ceramah dari semasa ke semasa yang telah disusun bagi memenuhi tempoh masa berkempen yang cukup singkat itu. Sama-samalah kita saksikan calon-calon ini berhujah meraih undi.

Laluan ke Bitarasiswa agak kelam-kabut...

Melihat kepada jadual PRK kali ini sangat menyuntukkan. Tempoh berkempen yang terlalu singkat mengecewakan. Memang benar seperti apa yang dikhabarkan..(klik)

Pembubaran MPP 2007/2008

Saya mula terpanggil untuk membuat pandangan awal tentang pilihanraya kampus (yang kadangkala dipanggil pemilihan MPP) khususnya di institusi pengajian saya di UPSI. Saya sememangnya menanti-nantikan waktu ini untuk saya melihat sejauh mana perubahan yang ingin dibuat oleh pihak berkenaan terhadap sistem yang ingin digunapakai untuk PRK kali ini. Hari ini, 10 Oktober 2008, pembubaran MPP 2007/08 dibuat. Maka sudah semestinya laluan kepada hari pembuangan undi semakin hampir. Proses kepada hari pembuangan undi dikatakan akan berlaku sepantas dan sesingkat yang mungkin tanpa diketahui atas sebab apa. Kalau nak dengar khabar angin sudah semestinya pelbagai. Namun atas saranan bersangka baik, kita sebagai pengundi akur. Pembubaran MPP dilakukan di saat manifesto melampau mereka belum terlaksana sepenuhnya. Paling melucukan adalah impian untuk mewujudkan stesen radio UPSI. Memang ternyata mereka memperbodohkan mahasiswa dengan manifesto yang kebudak-budakkan dan tidak realistik. Apapun mereka sudah terbubar kini. Mungkin manifesto itu dinyawakan semula oleh generasi mereka yang mewarisi ideologi fantasi itu. Maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai juga memberitahu budak suruhan yang mengedar flyers pada hari pengundian pada PRK lepas turut mempertaruhkan diri untuk bertanding. Budak tersebut yang selama ini menjadi menteri penerangan MPP 2007/08, menjawab segala isu yang berkaitan MPP lepas kini diberi kepercayaan untuk meneruskan ideologi fantasi mereka. Pada saat saya menulis, calon-calon yang berhasrat ingin bertanding sedang menjalani kursus kepimpinan siri 2 sebelum mereka dibenarkan membeli borang pencalonan seterusnya mencalonkan diri dan berkempen untuk bertanding. Kita sama-sama saksikan sama ada UPSI mempunyai reseptor terhadap mood perubahan semasa atau tidak.(Klik)

Thursday, October 9, 2008

Pemergian Sebutir Mutiara..Al-Fatihah..

Tidak hilang lagi rasa terkejut atas pemergian Allahyarham Suhaimi Yusof pada cuti semester yang lalu, seorang lagi rakan kita telah pergi pada 5 Syawal 1429H bersamaan 5 Oktober 2008 tanpa ada signal jelas bahawa beliau akan pergi mengadap Ilahi. Redho dengan pemergiannya tetap meninggalkan kesan kepada rakan sekeliling. Arwah pergi kerana sakit demam. Meskipun saya tidak begitu rapat dengan arwah, namun semasa hayatnya saya cukup mengagumi arwah dengan sifat peribadinya yang pendiam dan istiqamah. Semasa bulan Ramadhan yang lalu, saya sempat bertadarus bersama beliau beberapa kali. Arwah merupakan seorang ahli surau yang tidak pernah lekang untuk solat berjemaah. Arwah juga antara pentazkirah selepas Subuh. Sekali sekala arwah akan melaungkan azan terutamanya di waktu-waktu kurangnya jemaah seperti Zohor dan Asar. Bagi mereka yang kerap ke surau pasti akan mengenalinya dan pasti akan terkejut dengan pemergiannya. Al-Fatihah buat Allahyarham Mohamad Adnan bin Mohamad Nain..Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh..Amiiin..

Monday, September 29, 2008

Ramadhan ya Ramadhan..

Tidak seperti Ramadhan sebelum ini, saya merasakan Ramadhan kali ini ada keistimewaan yang tersendiri buat saya. Kepantasannya berlalu juga masih tidak dapat saya nafikan seperti Ramadhan-Ramadhan yang sebelum ini. Harapnya ramadhan kali ini benar-benar mentarbiah saya akan makna sebenar ketaqwaan. Sungguh besar harapan saya untuk bertemu lagi ramadhan pada masa akan datang. Dalam masa kecederaan yang tinggal hanya beberapa jam ini, saya benar-benar merasai kesayuan pemergiannya..

Thursday, September 11, 2008

Mahasiswa harus berani seperti Ramlang Porigi..

Ketibaannya membuat pengakuan eksklusif tentang kehadiran beliau sebagai saksi Sumpah Saiful di Masjid Wilayah, memang menggemparkan. Apapun niat beliau yang ingin membersihkan nama seharusnya dihormati. Meskipun isu ini sudah lama, tapi saya ingin melihat kepada keberaniannya ke depan tanpa memikirkan soal periuk nasinya. Inilah yang dikatakan orang berprinsip. Sikap ini harus ada pada seorang mahasiswa. Bukan hanya dalam soal melontarkan idea malah dalam soal menegakkan hak. Namun, mahasiswa kini hanya berani apabila diberi jaminan. Berlakon berani. Buat-buat berani. Jadilah mahasiswa yang mempunyai prinsip. Bukan hanya menurut arahan malah perlu membetulkan arahan dan mungkin mencantas arahan dan tukar dengan arahan yang lebih baik. Inilah mahasiswa. Kalau tidak, kekallah dengan gerangan pelajar macam budak sekolah dan mungkin lebih rendah martabat daripada pelajar sekolah. Kita juga tidak mahu SAIFULISME menular di kampus. Marilah berdoa untuk kesejahteraan Malaysia.

Wednesday, September 10, 2008

Anak Yatim dan Ramadhan...

“Menurut hadis Sahih Muslim, Rasulullah s.a.w turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.” Sementara menunggu waktu turun ke bawah untuk membentang tikar, menyediakan tempat jemaah kolej saya menunaikan solat berjemaah, tiba-tiba saya terfikir tentang anak yatim. Saya sering merenung bagi merasai bagaimana agaknya kalau kita sebatang kara dalam usia yang belum tahu erti kehidupan, terpaksa mengharungi hari demi hari tanpa keluarga terutamanya ibu dan ayah. Bagaimana perasaan apabila melihat rakan-rakan seronok bercuti, membeli juadah berbuka dengan ibu dan ayah masing-masing. Tatkala tiba waktu berbuka, dihulur makanan dan dipaksa menghabiskan makanan dengan penuh kasih sayang daripada ibu dan ayah. Pada sebelah malamnya mengikut ayah ke masjid menunaikan solat isyak dan terawih. Kembali ke rumah disambut dengan panggilan manja dari ibu. Membuat kerja rumah bersama asuhan ibu dan ayah. Melelapkan mata dengan usapan kasih sayang daripada seorang ibu. Anak yatim tak mungkin merasai semua ini. Hanya bertemankan rakan senasib untuk meluahkan, membantu, menggembirakan diri sendiri. Itupun sudah cukup bagi mereka. Apalah kiranya di bulan Ramadhan ini, kita meraikan mereka dan bermuhasabah diri. Kita tak akan merasai apa yang mereka rasa selagi kita tak berada di tempat mereka. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu dengan nikmat keluarga yang Engkau berikan dan janganlah dengan nikmat ini aku menjadi anak yang derhaka. Amin..Selamat berbuka. Nikmati Ramadhan sebaiknya..

Aura...

Mereka yang mempunyai aura sentiasa menarik perhatian orang ramai. Apabila berada di khalayak ramai sudah pasti ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat. Satu ketika dulu, Mawi adalah orang yang sentiasa mendapat publisiti meluas. Kemenangannya dalam Akademi Fantasia sudah dijangka dan namanya meletup-letup sehinggalah putus tunang dibuatnya. Liputan akhbar berkenaan beliau akan menenggelamkan isu-isu lain. Sampai dilamar untuk menjadi Duta Putera United Malays National Organisation. Kariernya dalam bidang muzik agak konsisten dan masih lagi mengekalkan auranya yang tersendiri. Anwar Ibrahim juga saya kira begitu situasinya. Dengar sahaja ada ceramah atau pidato daripadanya pasti penuh kawasan tersebut dengan manusia yang ingin mendengar beliau bercakap. Tokoh ini juga mempunyai aura yang tersendiri. Cukup dengan bercakap dan menggoreng beberapa isu, beliau mampu memukau ribuan orang malah jutaan orang. Kemunculannya dalam Debat berkenaan harga minyak beberapa bulan lalu membuktikan auranya masih hidup. Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh juga membuktikan beliau memang hebat. Politik adalah bidangnya dan sememangnya layak beliau berada di situ sejak beliau bergelar mahasiswa. Seorang yang zuhud dan menjadikan agama sebagai prinsip, seringkali dipandang rendah oleh mereka yang tak faham perjuangan seorang daie. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tidak terkecuali dalam mereka yang mempunyai aura yang tersendiri. Juga seorang ahli politik. Ilmu agamanya tak perlu dipersoalkan. Bercakap berkenaan agama dengan nada yang lemah lembut mampu memukau jemaah yang mendengar. Cukup dengan nada yang sederhana, ke mana sahaja beliau berceramah, pasti ada pendengarnya. Ketiga-tiga mereka ini pada saya adalah mereka yang berpengaruh dan mampu mempengaruhi. Namun mereka bertiga berada dalam landasan yang berbeza. Aura oh aura…

Tuesday, September 9, 2008

Lawatan Sambil Belajar bukan hanya untuk pelajar..

Sebelum ini dalam pemikiran saya, lawatan sambil belajar hanya relevan untuk para pelajar dan mungkin guru-guru yang menjadi guru pengiring untuk lawatan tersebut. Kalau di universiti, juga boleh diterima. Pengalaman saya menjalankan misi antarabangsa menjelajah ke medan pada awalnya juga dinamakan "Lawatan Sambil Belajar ke Medan". Tetapi tajuk program ini tak diterima kerana nama program itu seakan lapuk. Jadi, untuk menjadikan program itu dilihat lebih global, Bahasa Inggeris digunakan, 'An Excursion to Medan". Juga tak diterima. Perlu diubah nama itu kepada sesuatu yang berbentuk kebajikan. Universiti saya ini menekankan program yang berbentuk kebajikan. Fikir punya fikir, ilham datang untuk menamakan program ini "Penjelajahan Bakti ke Medan". Baru diterima walaupun ada lagi bunyi-bunyi oleh beberapa individu. Saya tak nak cerita tentang program ini tapi nak tengok kepada nama program "Lawatan Sambil Belajar". Rupa-rupanya ahli Parlimen juga memerlukan Lawatan Sambil Belajar..Bukan hanya untuk pelajar..Kalau ahli-ahli parlimen ini berada di universiti saya, pasti kertas kerja mereka ditolak bulat-bulat oleh Pelulus Program Antarabangsa.

Monday, September 8, 2008

Semetrik Physics Camp..sesuatu di luar jangkaan..

Memenuhi permintaan adik-adik dari SEMETRIK yang nak baca tentang Semetrik Physics Camp atau nama glamornya SPC, Abang Boss sedia menulis. Secara keseluruhan, program ini sangat bermakna bagi kami dan juga mungkin adik-adik yang menyertainya. Kalau nak diikutkan 3 hari 2 malam itu tidak cukup untuk kami curahkan semua pengetahuan, pengalaman yang kami ada, tapi itulah yang termampu kami lakukan. Secara jujurnya, kami seakan-akan lupa bahawa program ini adalah bagi memenuhi syarat lulus dan gred terbaik untuk kursus Kaedah Mengajar Fizik yang memerlukan kami menjalankan satu projek. Sebaik kami tiba di SEMETRIK, kami hanya menumpukan perhatian bagaimana nak beri yang terbaik untuk adik-adik yang terpinga-pinga dengan tema program ‘Physics Is Fun’. Kami dapat rasakan tatkala adik-adik menempik dengan penuh semnagt “Physics Is Fun”, ada yang membisikkan dalam hati,”Fun pebenda..fail je tiap-tiap kali ujian..”. Semua itu hilang selepas 3 hari kami berkampung di sana. Apapun, komitmen adik-adik memang selayaknya diberi pujian. Kami pun tidak menyangka adik-adik begitu komited dengan aktiviti-aktiviti yang kami jalankan. Dengan kerjasama yang baik daripada pihak sekolah, kami memang berasa terhutang budi. Diharapkan adik-adik memperolehi sesuatu daripada semua aktiviti yang dijalankan. Secara peribadi saya juga teruja dengan kerjasama rakan-rakan seperjuangan. Memang bertanggungjawab dan berdisiplin. Tidak ada yang dikuasai emosi semasa menjalankan tugas. Semuanya nampak ‘happy’ dan selesa dengan tugas yang diamanahkan. Moga anda semua juga beroleh sesuatu. Pujian khas patut saya berikan kepada Dewan Makan yang siap sedia menjamu kami sepanjang berada di sana. Kami juga dapat mengimbau kenangan ketika kami di sekolah. Makan bersama dan pada waktunya cukup untuk kami berborak panjang menceritakan pengalaman masing-masing semasa menikmati hidangan yang disediakan. Terima kasih tak terhingga kepada pihak Dewan Makan. Program ini adalah antara program terbaik dari segi pengurusan dan pelaksanaannya. Semua yang dirancang berjalan dengan baik tanpa ada perubahan besar yang perlu dilakukan. Mungkin berkat doa semua pihak. Niat ikhlas untuk member sesuatu kepada adik-adik akhirnya membuahkan hasil apabila jalinan ukhwah dengan adik-adik masih lagi terkesan sehingga ke hari ini. Semoga program ini menjadi penyambung silaturahim kita semua. Kejayaan SPC memang sesuatu di luar jangkaan kami. Tidak sabar rasanya untuk memberi laporan kepada Penasihat Program SPC merangkap pensyarah kami, Dr. Nurul Huda Abd Rahman.

Maaf dipohon..

Maaf kerana begitu lama tidak mengemaskini blog ini. Sokongan saudara-saudari didahului dengan ucapan terima kasih. InsyaAllah, blog ini akan aktif dengan tulisan-tulisan baru yang segar dalam sehari dua lagi. Terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan...Salam Ramadhan..Selamat Menikmati Ramadhan..Assalamualaikum..

Saturday, July 5, 2008

Berita dari Medan..

Agak lama juga tak hantar nukilan dalam blog ni..sibuk dengan pelarasan segala-galanya sekembali dari penjelajahan ke Medan. Terlalu banyak perkara yang perlu dibereskan. Apapun saya tak mampu nak bawa balik pulang banyak cenderahati buat kalian yang membaca. Cuma pengalaman mungkin yang mampu saya berikan. . Syukur..Alhamdulillah..Kalau sebelum ini saya hanya membaca keadaan masyarakat di sana, anak-anak yang tercicir dan sebagainya, dengan takdir Tuhan saya dapat sampai ke salah sebuah daerah di Sumatera Utara, Medan, untuk mengamati keadaan sebenar. Banyak bezanya. Positif ada, negatif pun ada. Kita cerita yang negatif kemudian. Kita lihat yang positifnya dulu. Belajar.. Dari segi material dan kemudahan jauh bezanya dengan kita. Tapi dari segi semangat menuntut ilmu, saya kira patut kita contohi. Anak-anak jalanan meskipun berjalan mencari kotak-kotak, kertas dan sebagainya, masih mempunyai keazaman untuk belajar menuntut ilmu. Seperti tidak percaya yang mereka ini berjalan di sekitar kota Medan mencari bahan kitar semula untuk dijual bagi membantu ayah dan ibu mencari pendapatan tambahan. Apabila ditanya apakah kerja ini dilakukan sepanjang hari?. Jawabnya tidak. Hanya selepas tamat waktu persekolahan (waktu petang). Lihatlah betapa susahnya mereka berusaha mencari wang bagi menampung kehidupan seharian dan sudah semestinya juga perbelanjaan untuk mereka belajar di sekolah. Lantas saya segera menyumbangkan beberapa buah buku buat anak-anak ini sesuai dengan misi program, penjelajahan bakti. Semoga mereka peroleh motivasi untuk terus belajar demi masa depan.

Saturday, June 21, 2008

Terima kasih SMK Dato' Zulkifli Muhammad..

Hari terakhir ROS memberi kesempatan untuk saya menyampaikan beberapa pesanan kepada semua pelajar. Akhlak dan sahsiah perlu diutamakan. Jangan hanya ke sekolah untuk menerima hukuman akibat kesalahan disiplin. Kegiatan di luar bilik darjah juga penting untuk masa depan. Jadilah seseorang apabila menjadi anngota masyarakat kelak. Bagi muslim, sering saya ingatkan, jangan tinggalkan solat. Itulah antara isi penting yang saya sampaikan kepada pelajar. Masa yang singkat (2 minggu) sememangnya tidak cukup untuk saya mempelajari keseluruhan hal-hal berkaitan sekolah. Namun banyak juga perkara baru yang saya pelajari. Terima kasih kepada semua yang membantu. Nasihat dan pesanan kalian akan saya jadikan panduan. Terima kasih SMK Dato’ Zulkifli Muhammad. Jumpa lagi pada masa akan datang..

Friday, June 20, 2008

Kerjaya GURU jangan dipandang enteng..

“Kau nak jadi apa besar nanti Mat”, tanya ibu yang mahu mengetahui cita-cita anaknya.”Mat ingat nak jadi cikgu sekolah je la mak”, jawab Mat kepada ibunya.”Banyak-bayak kerja yang ada kat dunia ni kenapa cikgu yang kau pilih?”, tanya ibu untuk menguji kesungguhan anaknya itu.”Ala mak, kalau jadi cikgu, bole balik rumah awal, kerja pun tak berat sangat, nanti boleh jenguk-jenguk mak di kampung selalu.Gaji cikgu pun boleh tahan juga sekarang ni”,Mat menjelaskan kepada ibunya yang sedang melipat pakaian yang baru diangkat dari ampaian.”Ikut suka kau lah Mat. Jangan kau menganggur sudah. Sekarang ni nak dapat kerja pun susah. Kalau dah itu keputusan kau, baguslah. Mak tumpang gembira”balas Si ibu yang bangga dengan cita-cita anaknya tanpa mengetahui apa itu GURU sebenarnya. Mungkin begitulah tanggapan banyak pihak terhadap kerjaya guru. Habis kerja awal. Kerja tak terlalu membebankan. Boleh selalu balik kampung. Banyak masa bersama keluarga. Segala-galanya seronok. Mungkin benar, tapi bukan untuk guru di negara ini. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan diperhalusi sebelum memilih guru sebagai kerjaya. Perkara utama yang perlu dimuhasabah sebelum memikirkan soal yang seronok-seronok adalah kesediaan seseorang itu berkorban dalam segala hal. Keluarga, masa, tenaga, wang ringgit (mungkin juga US Dolar), cara hidup dan banyak lagi bentuk pengorbanan yang perlu diberikan apabila memilih guru sebagai kerjaya. Saya juga tak terfikir semua ini sehinggalah saya ke sekolah untuk melihat sendiri kehidupan sebagai seorang guru. Dan jangan pula mengharap pengorbanan itu dibalas. Guru bukan hanya mengajar. Guru perlu juga jadi pelajar. Bersedia untuk belajar. Belajar daripada yang tahu. Keluar universiti atau maktab bukan bermakna kita tahu segalanya. Kadang-kadang nak buat rancangan mengajar pun tak tahu. Bukan tak belajar masa di universiti dan maktab dulu. Tapi kaedah dan metodnya berbeza. Tapi lagi malang kalau nak bawa watak guru tu pun tak berapa nak tahu. Maka jadilah guru yang hanya menunggu bulan berlalu. Bayar hutang kereta, rumah dan aset yang beribu-ribu. Saya juga masih belajar. Tak tahulah macam mana nanti. Tapi banyak juga yang saya cuba ambil tahu sebelum nak jadi cikgu. Kalau difikirkan soal kepayahan dan kesusahan, memanglah akan risau dan ragu. Tapi semangat untuk meneruskan perjuangan guru masih tersemat di dalam kalbu. Biarlah nak kata apa, matlamat mesti jelas. Usaha untuk ke arah yang terbaik mesti diteruskan. Apa yang seronoknya jadi cikgu kalau semuanya susah? Kita cuba bincangkan nanti…

Thursday, June 19, 2008

ROS di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River : Menyingkap Kenangan

Melangkahkan kaki ke sekolah lama sudah pastinya mengingatkan kita kenangan lalu tatkala bergelar pelajar sekolah. Bermula pada 9 Jun 2008, saya berkesempatan untuk menjalankan ROS di sekolah ini. Saya sempat belajar di sekolah ini selama 3 tahun. Selepas tamat PMR, saya berpindah ke sekolah lain. Banyak juga perubahan yang berlaku. Mungkin kerana gurunya pun sudah ramai yang bertukar. Maka dasar dan matlamat pun turut diperbaharui. Lapan tahun yang lalu, saya datang ke sekolah sebagai pelajar. Kini, saya datang ke sekolah sebagai bakal guru yang ingin mencari pengetahuan, selok-belok tentang sekolah. Banyak betul perkara yang saya tak tahu sebelum ini. Maka di kesempatan ini, saya mencari sebanyak mungkin ilmu itu sebagai persediaan sebelum bergelar guru. Beberapa ungkapan penting menjadi peringatan kepada saya. “Mental yang kuat”, “Jiwa Guru”, “Pengorbanan”, “Keseimbangan”, “Kepuasan”, dan banyak lagi ungkapan yang menggambarkan imej guru sebenar. Ada kisah dan nasihat di sebalik ungkapan-ungkapan itu.

Wednesday, June 18, 2008

Assalamualaikum..

Saya baru menjinakkan diri dalam dunia blog. Menulis sudah lama tapi belum bersedia untuk ditatapi umum. Kini bermulalah pelayaran saya sebagai orang baru dalam ruangan blog. Semoga setiap yang ditulis dipelihara-Nya daripada perkara yang tidak baik.